topbella

Friday, November 5, 2010

Tempat Terjatuh Lagi Di Kenang...



Hari ini Deepavali (Selamat Hari Pesta Cahaya buat bangsa India!).Maka hari ini aku cuti.Dari semalam, aku rancang untuk beli sedikit keperluan di Gombak dan juga Subang.Tepat pukul 10.30 pagi, aku keluar rumah.Aku ke Taman Tun Dr Ismail terlebih dahulu untuk sarapan.Hehe.Teringin makan tosei sebenarnya.Kemudian, aku ke Gombak.

Pada mulanya, aku resah juga, takut jalan di Batu Caves sesak.Al-maklumlah, hari ini kan Deepavali.Ada kemungkinan kaum India menerjah Batu Caves untuk membuat upacara keagamaan.Alhamdulillah, ia tidak seperti apa yang aku jangka.Jalan sangat lengang.Jika mahu baring di atas jalan itu pun boleh!Haha.Ramai yang balik kampung agaknya.Tak sampai sejam pun aku di Gombak.Aku teruskan perjalanan pula ke Subang.

Dari Gombak melalui Kepong, aku ingat aku mahu guna jalan NKVE, masuk ke tol Sungai Buloh.Alih-alih, aku terlajak simpang ke tol tersebut!Maka tak pasal-pasal aku telah masuk ke kawasan Sungai Buloh.Aku cuba cari simpang 'U-turn', namun tidak aku jumpa.Jalan di kawasan Sungai Buloh sudah benar-benar berubah!

Adakah aku kaget?Haha, TIDAK sama sekali!Sungai Buloh adalah kawasan yang menjadi kebiasaan buat aku suatu ketika dahulu!Walaupun terdapat perubahan yang sangat banyak di kawasan tersebut, aku masih boleh cari jalan pulang.

Aku memandu hingga ke Paya Jaras.Saja jalan-jalan cuci mata.Terlihat juga tapak pasar malam Paya Jaras yang menjadi kebiasaan keluarga aku untuk membeli barang-barang basah.Di situlah aku membuat 'U-turn'.

Huh!Entah apa yang merasuk jiwa.Sampai ke satu simpang, aku terus membelok ke kiri.Itu bukanlah jalan pulang.Ia adalah simpang ke rumah lama aku!Rumah lama...Lebih kurang 17 tahun yang lalu....

Segala kenangan di situ tiba-tiba menerjah kotak fikiran aku saat kereta aku mula menyelusuri lorong kedai-kedai.Ya, aku masih ingat.Lorong ini lah aku berbasikal untuk ke kedai.Ke kedai atas arahan mama untuk membeli barang-barang dapur (Barang-barang kecemasan sahaja, bukan memborong.).Aku berbasikal seorang diri sewaktu umur aku 7 tahun!Bayangkan...Jika zaman sekarang, umur aku sekarang ini pun tidak diberi peluang untuk keluar seorang diri.Dahulu, masih selamat.

Kemudian, aku mula mencari jalan ke rumah aku.Aku tidak ingat langsung jalan nombor berapa.Tetapi aku masih ingat, lorong masuk ke rumah aku ada tadika, dan lorong rumah aku adalah lorong pertama yang hujungnya jalan mati.

Aku tidak jumpa lorong yang ada tadika tersebut!Aku sampai terlajak ke masjid.Aku kagum, yang dahulunya surau, kini sudah dinaik taraf menjadi masjid.

Aku tidak ketemu tadika tersebut.Kemungkinan sudah dibina menjadi rumah semula.Aku terpaksa masuk satu persatu lorong bermula dari yang awal.Akhirnya, aku ketemu lorong yang ada jalan mati.Itulah lorong rumah aku.

Aku tidak cam rumah-rumah yang ada di situ.Rumah ustaz yang aku mengaji dahulu pun aku tidak cam.Kesemua rumah sudah nampak lain.Barangkali semua rumah sudah di ubah suai, atau aku sendiri yang sudah hilang ingatan?Hehe.

Aku masuk ke lorong tersebut hingga ke hujungnya.Aku mengimbau kembali segala memori kanak-kanak aku.Ada sajak yang aku karang.Tapi nanti-nanti sahaja aku lampirkan.Ada yang aku perlu ubah suai.Apa-apapun, bahagia terasa apabila aku jejak kembali ke sini setelah 17 tahun meninggalkannya.

Apa istimewanya tempat ini?
Aku bebas di sini dan aku punya ramai kawan sepermainan! 



Lorong selepas van itu adalah lorong menembusi rumah lama aku.Aku selalu berbasikal di lorong ini untuk ke kedai.


Kawasan kedai yang menjadi tempat aku meronda-ronda.Ambil kesempatan apabila mama suruh ke kedai.Haha!


Lorong ini dahulu, tiada langsung kereta yang diletakkan di luar rumah.Mungkin orang-orang di sana sudah murah rezeki.Kereta pun di beli lebih dari sebuah!Lorong ini juga dahulunya apabila petang, penuh dengan budak-budak!Tak silap aku, kami lebih dari 10 orang!Jika petang hujan, kami tetap akan bermain.Tetapi kami akan bermain di beranda rumah salah seorang dari kami.Yang paling aku ingat, kami bermain batu seremban di salah sebuah rumah jiran ketika hujan.Waktu itu, aku sangat rimas kerana terpaksa tunggu giliran sangat lama kerana yang bermain sangat ramai.Kami buat satu halaqah yang sangat besar!


Hanya dua buah rumah ini yang tidak di ubah suai di lorong ini.Yang lain sudah di ubah suai.Ada juga memori rumah lama!


Jalan mati ini dahulunya hanya belukar.Sekarang ini sudah dibersihkan dan ada tangga untuk terus ke padang!Jika dahulu, aku dan rakan-rakan sepermainan terpaksa berbasikal untuk ke padang.


Tangga terus ke padang.Jika dahulu terpaksa berbasikal jauh.


Tempat terjatuh, lagi terkenang.Rasa sebak sangat masa ni.Teringat rakan-rakan sepermainan.Hanya wajah mereka bermain-main di minda.Nama mereka, seorang pun aku tidak ingat!


Lorong seribu kenangan!


Bandar Baru Sungai Buloh
Selangor Darul Ehsan
5 November 2010
12:45 tengahari


0 comments:

My Photo
Siti Zulaikha Kamarudin
View my complete profile
Aku Sang Merpati
Hidupku memerhati
Mengambil intipati
Untuk dibawa mati

 
Raudhah An-Nur© DiseƱado por: Compartidisimo