topbella

Tuesday, November 23, 2010

Gangguan, Jiwa Jadi Kacau!

Arghhh...

Terlalu banyak sebenarnya ingin aku nukilkan, tetapi ada sesuatu yang mengganggu aku pada malam ini!

Monday, November 15, 2010

Khabar ku...

Wah, sudah lama jari jemari ku tidak menari-nari di sini...Banyak hal yang perlu diselesaikan, jadi terlupa sebentar pada gelanggang tarian ini...

Alhamdulillah, perniagaan baru ku mula bertapak.Setakat ini, jualan amat memberangsangkan.Paling minimum sehari seorang pelanggan.Aku sangat teruja!

Cuma, aku terpaksa korbankan masa rehat ku untuk ke pejabat pos.Namun, itu tidak melelahkan aku.

***

Kelas bersama anak-anak telah selesai, alhamdulillah.Aku terkilan sedikit kerana tidak banyak dapat membantu mereka.Masa mereka sangat suntuk, manakala masa aku ada hadnya.Apa-apa pun, aku doakan agar apa yang mereka dapat dari aku benar-benar dapat membantu mereka menjawab soalan yang diutarakan.Aku pula timba pengalaman mengajar.InsyaALLAH tahun depan jika keadaan mengizinkan, aku akan berkhidmat sebagai guru tusyen sambilan.

***

Soal kerja, alhamdulillah...Belum lagi di duga dengan dugaan yang maha dasyat!

***

Oh ya! Minggu lepas aku ada membelek akhbar dan menyelusuri laman sesawang berkenaan dengan belajar separuh masa.Timbul keinginan di hati untuk menjadi pelajar semula.Tetapi ia cuma sijil diploma, bukannya sarjana.Untuk sarjana, aku adalah tidak layak!

Kursus tersebut adalah sijil Diploma.Masa 3 tahun belajar..Kelas setiap hari Ahad..Yurannya 'affordable'...Habis 3 tahun, akan ada acara konvokesyen..Itu yang membuatkan aku terasa ingin menyarung jubah graduasi sekali lagi!!huuuhhh....

Entahlah..Aku perlu istikharah...Aku berkeinginan tetapi aku tidak tahu jalan itu baik atau tidak untuk aku.Jika ditakdirkan tahun depan aku bernikah, bagaimana dengan pengurusan masa aku nanti?
Kerja?Bisnes?Rumahtangga?Belajar??Fiuhhhhh.....

InsyaALLAH, moga dibuka jalan dan ruang untuk ku...Jika bukan tahun depan, mungkin pada masa lain...Amin.

Saturday, November 6, 2010

Sayap Terluka oleh Panji


Dalam keributan hembusan beliung
Terbanglah aku sang camar hina
Mencari singgahan andainya kau sudi
Menghampar kasih di pantai hati

Dah lama kupuja kini jadi nyata
Sayang hanya untuk seketika
Sayap ku terluka ditimpa bencana
Akhirnya diri aku sendiri yang sengsara

Ku tahu diri ini bagai menggapai bintang di langit
Tersingkir jatuh tiada pernah kau peduli
Rapuhnya cinta kita patah terkulai di ranting hampa
Pedih terluka tiada siapa yang endahkan

Biar derita biar sengsara aku rela
Menjadi mangsamu
Akanku simpan di nurani ini kenangan antara kita
( hingga akhir nanti oh... )

Kini kan tinggal cinta dan kasihku
Umpama pungguk merindu bulan
Tak mungkin tercapai hasrat hati ini
Biarpun harus ku tunggu seribu tahun lagi

Friday, November 5, 2010

Tempat Terjatuh Lagi Di Kenang...



Hari ini Deepavali (Selamat Hari Pesta Cahaya buat bangsa India!).Maka hari ini aku cuti.Dari semalam, aku rancang untuk beli sedikit keperluan di Gombak dan juga Subang.Tepat pukul 10.30 pagi, aku keluar rumah.Aku ke Taman Tun Dr Ismail terlebih dahulu untuk sarapan.Hehe.Teringin makan tosei sebenarnya.Kemudian, aku ke Gombak.

Pada mulanya, aku resah juga, takut jalan di Batu Caves sesak.Al-maklumlah, hari ini kan Deepavali.Ada kemungkinan kaum India menerjah Batu Caves untuk membuat upacara keagamaan.Alhamdulillah, ia tidak seperti apa yang aku jangka.Jalan sangat lengang.Jika mahu baring di atas jalan itu pun boleh!Haha.Ramai yang balik kampung agaknya.Tak sampai sejam pun aku di Gombak.Aku teruskan perjalanan pula ke Subang.

Dari Gombak melalui Kepong, aku ingat aku mahu guna jalan NKVE, masuk ke tol Sungai Buloh.Alih-alih, aku terlajak simpang ke tol tersebut!Maka tak pasal-pasal aku telah masuk ke kawasan Sungai Buloh.Aku cuba cari simpang 'U-turn', namun tidak aku jumpa.Jalan di kawasan Sungai Buloh sudah benar-benar berubah!

Adakah aku kaget?Haha, TIDAK sama sekali!Sungai Buloh adalah kawasan yang menjadi kebiasaan buat aku suatu ketika dahulu!Walaupun terdapat perubahan yang sangat banyak di kawasan tersebut, aku masih boleh cari jalan pulang.

Aku memandu hingga ke Paya Jaras.Saja jalan-jalan cuci mata.Terlihat juga tapak pasar malam Paya Jaras yang menjadi kebiasaan keluarga aku untuk membeli barang-barang basah.Di situlah aku membuat 'U-turn'.

Huh!Entah apa yang merasuk jiwa.Sampai ke satu simpang, aku terus membelok ke kiri.Itu bukanlah jalan pulang.Ia adalah simpang ke rumah lama aku!Rumah lama...Lebih kurang 17 tahun yang lalu....

Segala kenangan di situ tiba-tiba menerjah kotak fikiran aku saat kereta aku mula menyelusuri lorong kedai-kedai.Ya, aku masih ingat.Lorong ini lah aku berbasikal untuk ke kedai.Ke kedai atas arahan mama untuk membeli barang-barang dapur (Barang-barang kecemasan sahaja, bukan memborong.).Aku berbasikal seorang diri sewaktu umur aku 7 tahun!Bayangkan...Jika zaman sekarang, umur aku sekarang ini pun tidak diberi peluang untuk keluar seorang diri.Dahulu, masih selamat.

Kemudian, aku mula mencari jalan ke rumah aku.Aku tidak ingat langsung jalan nombor berapa.Tetapi aku masih ingat, lorong masuk ke rumah aku ada tadika, dan lorong rumah aku adalah lorong pertama yang hujungnya jalan mati.

Aku tidak jumpa lorong yang ada tadika tersebut!Aku sampai terlajak ke masjid.Aku kagum, yang dahulunya surau, kini sudah dinaik taraf menjadi masjid.

Aku tidak ketemu tadika tersebut.Kemungkinan sudah dibina menjadi rumah semula.Aku terpaksa masuk satu persatu lorong bermula dari yang awal.Akhirnya, aku ketemu lorong yang ada jalan mati.Itulah lorong rumah aku.

Aku tidak cam rumah-rumah yang ada di situ.Rumah ustaz yang aku mengaji dahulu pun aku tidak cam.Kesemua rumah sudah nampak lain.Barangkali semua rumah sudah di ubah suai, atau aku sendiri yang sudah hilang ingatan?Hehe.

Aku masuk ke lorong tersebut hingga ke hujungnya.Aku mengimbau kembali segala memori kanak-kanak aku.Ada sajak yang aku karang.Tapi nanti-nanti sahaja aku lampirkan.Ada yang aku perlu ubah suai.Apa-apapun, bahagia terasa apabila aku jejak kembali ke sini setelah 17 tahun meninggalkannya.

Apa istimewanya tempat ini?
Aku bebas di sini dan aku punya ramai kawan sepermainan! 



Lorong selepas van itu adalah lorong menembusi rumah lama aku.Aku selalu berbasikal di lorong ini untuk ke kedai.


Kawasan kedai yang menjadi tempat aku meronda-ronda.Ambil kesempatan apabila mama suruh ke kedai.Haha!


Lorong ini dahulu, tiada langsung kereta yang diletakkan di luar rumah.Mungkin orang-orang di sana sudah murah rezeki.Kereta pun di beli lebih dari sebuah!Lorong ini juga dahulunya apabila petang, penuh dengan budak-budak!Tak silap aku, kami lebih dari 10 orang!Jika petang hujan, kami tetap akan bermain.Tetapi kami akan bermain di beranda rumah salah seorang dari kami.Yang paling aku ingat, kami bermain batu seremban di salah sebuah rumah jiran ketika hujan.Waktu itu, aku sangat rimas kerana terpaksa tunggu giliran sangat lama kerana yang bermain sangat ramai.Kami buat satu halaqah yang sangat besar!


Hanya dua buah rumah ini yang tidak di ubah suai di lorong ini.Yang lain sudah di ubah suai.Ada juga memori rumah lama!


Jalan mati ini dahulunya hanya belukar.Sekarang ini sudah dibersihkan dan ada tangga untuk terus ke padang!Jika dahulu, aku dan rakan-rakan sepermainan terpaksa berbasikal untuk ke padang.


Tangga terus ke padang.Jika dahulu terpaksa berbasikal jauh.


Tempat terjatuh, lagi terkenang.Rasa sebak sangat masa ni.Teringat rakan-rakan sepermainan.Hanya wajah mereka bermain-main di minda.Nama mereka, seorang pun aku tidak ingat!


Lorong seribu kenangan!


Bandar Baru Sungai Buloh
Selangor Darul Ehsan
5 November 2010
12:45 tengahari


Thursday, November 4, 2010

Nikmat Solat

Berdiriku nampak kaku
Dalam hati tiada yang tahu
Takbir diangkat menyerah diri
Ingin menghadap Sang Maha Suci

Terlafazlah munajat bicara kata
Bercengkerama, memabukkan lagi cinta
Hanyut dek arus namun tidak sakit
Tenang sendiri, kenang dosa terpalit

Rukuk tanda tunduk padaNYA
Mencapai mahmudah, seruanNYA
Tasbih-tasbih cinta mula bergema
Tak kedengaran tetapi menggetar jiwa

Wajah sempurna terbenam padaNYA
Akur dan redha pada yang Maha Pencipta
Tiada terkesan dek rasa terhina
Malah terasa nikmat dibelai-belai jiwanya

Salam dihulur buat para nabi
Moga beroleh syafaat di akhirat nanti
Salam terakhir buat malaikat kanan dan kiri
Doa dipohon, moga diberkati

Jalan Maarof
Bangsar Baru
4 November 2010
5:30 PM

Saturday, October 30, 2010

Mula Berniaga (Secara Serius)

Strategi sudah dirancang (Alhamdulillah).Blog sudah dibina (Alhamdulillah).Tinggal tunggu gaji masuk sahaja kerana mahu digunakan untuk modal pertama berniaga!hehe.

Sebelum ini, aku pernah berniaga sewaktu aku menganggur.Kecil-kecilan sahaja.Namun begitu, untung agak besar juga kerana produknya bagus.Cuma aku tidak serius, cuba nasib sahaja.Segala wang yang aku peroleh, aku tidak simpan langsung!huhu.Satu kesilapan yang sangat besar.

Sekarang ini, apabila sudah bekerja, baru terasa sakit.Baru rasa keperluan wang itu amat menekan.Ditambah lagi dengan impian hidup mendatang.Semuanya perlukan wang!

Gaji aku di tempat kerja aku sekarang ini, cukup-cukup sahaja.Ada lah sedikit untuk disimpan, tetapi aku rasa masih tidak memadai jika sebulan hanya dapat simpan RM100 atau RM200 sahaja.

Jadi, aku dan rakan baik ku Ed, bernekad untuk berganding bahu mengusahakan sesuatu.Semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga ALLAH membuka pintu rezeki, rahmat dan berkatNYA kepada kami berdua seluas-luasnya.Amin!

Tak salah rasanya jika aku kongsikan di sini apa impian aku sebenarnya.Aku betul-betul nekad mahukannya.Aku perlu fokus.

1. Rumah atas nama sendiri

Aku nekad untuk memiliki sebuah.Dan aku rasa tidak mustahil untuk memilikinya dalam masa terdekat ini kerana Skim Rumah Pertamaku sudah diperkenalkan oleh DS Najib di dalam Bajet 2011.Aku harap aku dapat manfaat dari skim ini dan impian aku dipercepatkan!Amin.

2. Bernikah

Haha.Zaman sekarang ni, kalau nak bernikah, perempuan pun kena ada duit.Lain lah kalau bakal suaminya kaya kan.Tapi aku tak harapkan apa-apa.Kenduri nanti (insyaALLAH) aku ingin pakai duit hasil titik peluh ku sendiri.Aku tidak mahu menyusahkan ibu bapa ku.Takkan kenduri sebelah perempuan pun si bakal suami kena tanggung kan..Kasihan!Nak juga kumpul duit untuk buat Umrah bersama suami.Hehe.

3. Nak buka syarikat sendiri

Aku teringin sangat nak ada perniagaan keluarga sendiri.Ketuanya, suamiku, aku sebagai pembantunya.Kemudian, di bawah kami, kami menggaji pekerja.Apabila anak-anak sudah besar, mereka juga terlibat sama dalam pengurusan syarikat.Cuma, jenis perniagaan itu aku belum fikirkan lagi.Tetapi, ada terlintas di hati mahu buka kedai runcit pandu lalu (drive through)!hehe...

Impian ini sebenarnya lahir dari syarikat tempat aku bekerja sekarang.Pengarah atasannya suami isteri.Pengarah sumber manusia pula adik isteri.Dan anak-anak mereka bakal memegang tampuk pengurusan syarikat setelah tamat belajar kelak.Syarikat nampak begitu berkembang maju.Betul-betul memberi inspirasi buat aku.

4. Nak pergi Haji

Hehe...Ini impian terbesar..Pasang niat dahulu.InsyaALLAH, jalan akan dibuka.


Amin...Amin ya rabbal alamin...

Thursday, October 28, 2010

Adakah INSOMNIA Namanya?

Malam ini, penyakit aku mula datang lagi.Aku selalu terkena keadaan begini.Adakah ini namanya INSOMNIA?

Aku rasa..

Badan sangat-sangat letih dan mengantuk tetapi aku tidak dapat lelapkan mata dan tidur!

Aduhai..Seksa rasanya...

Dan ini buktinya...

Sebuah lukisan kantuk! Hodoh rupanya...


Tak larat nak membaca, jadi melukis lah jawabnya!

Monday, October 25, 2010

Ini Bahagianmu, Wahai Nenda...

Terpekik-pekik mencari
Rupanya telah pergi
Pantang tak berkunci
Terlepaslah nenda lari

Aduhai nenda ku sayang
Buat cucunda melayang
Malapetaka tak terbayang
Bila nenda menghilang

Ke mana pergi nenda?
Satu rumah tiada
Buat sesak dada
Pening kepala cucunda

Dari celah jendela
Ternampak bayang nenda
Jalan bertatih leka
Berselubung wajah nestapa

Kenapa nenda bermuram durja?
Rumah ini bosan agaknya
Rasa bersalah tak terhingga
Tidak bersama nenda sentiasa

Bukan begitu wahai cucuku
Tiada istilah bosan dalam hidupku
Aku keluar mencari Busu mu
Sudah lama aku menunggu!

Mengucap aku tidak terkira
Ingatan nenda entah ke mana
Rumah Busu ku bukan selangkah dua
Bukan juga dua tiga batu jaraknya

Ku genggam kemas tangan tuanya
Ku tenung erat mata redupnya
Inilah bahagian usia tuamu wahai nenda
Aduhai...
Esok-esok, aku pula bagaimana?

Bandar Utama Damansara
Petaling Jaya
24 Oktober 2010
12:30 tengahari

25 Oktober 2010

Sunday, October 24, 2010

Senja Nan Merah

Satu hari nanti, aku, Sakura Putih dan Miss Zircon akan ke sebuah taman untuk melukis!Ini atas cadangan Sakura Putih.Wah, satu lagi nikmat kehidupan yang aku tunggu-tunggu!!

Hasil tangan yang keras pada pagi Ahad.Lenggokkan tangan diiringi dengan alunan nasyid dari kumpulan Mestica..Subhanallah...


24 Oktober 2010

Saturday, October 23, 2010

Lembutkan Tangan yang Keras

Kali terakhir aku memegang berus adalah semasa aku di tingkatan tiga.Wahh, sudah lama tidak memalitkan cat dan bermain-main dengan warna!Tiba-tiba jadi rindu.

Semalam, balik sahaja dari pejabat, aku singgah sebentar di kedai alat tulis untuk membeli bahan-bahan melukis.Dan malam itu juga aku mula 'start engine'!hehe...

Susah untuk melembutkan tangan yang keras.Tetapi itu tidak mustahil kan..

Hasilnya, tidaklah begitu menarik..Tapi aku puas kerana aku masih ingat bagaimana untuk memegang berus!hehehe...

Inilah dia.Tidak menggunakan pensel.Semuanya guna berus...Ter'getaq' juga lah tangan ni..hehe..
Tiga jenis lukisan mudah hasil karya malam tadi..

Merpati Dua Sejoli
Aku dapat ilham di internet untuk melukis gambar ini..Tetapi, aku tidak lah tiru bulat-bulat.Aku pandang sekilas dulu gambar contoh, kemudian aku melukis sendiri.Sangat 'simple'.Tiada tona warna.Nama pun 'start engine'...ngeee!



Sang Pelangi
Perasaan rindu nak melukis ni timbul kerana Sang Pelangi laa..hehe..Minggu lepas aku terlihat Sang Pelangi muncul di kaki langit pada awal pagi.Subhanallah, sangat terang dan cantik sekali.Seperti mahu menyentuhnya!


Sang Merpati
Lukisan yang ini main belasah je.Tak sangka, jadi juga seekor burung.Cuma tang kaki, nampak pelik sedikit.hehe...


*Gambar lukisan-lukisan di atas TIDAK di 'edit'..

Thursday, October 21, 2010

Bila Si Anak Kecil Berkata Tentang Aurat....

Pukul 1.00 tengahari.
Sudah masuk waktu rehat.Hari ini aku tidak ke medan selera.Aku hanya menjamah air coklat untuk makanan tengahari ku.Badan terasa semakin memberat.Aku harus kurangkan makan.

Keluar sahaja dari pejabat, aku terus ke masjid.Panas terik matahari buat aku mengeluarkan payung hijauku.Sewaktu menyelusuri lorong ke masjid, sudah kedengaran imam telah mula mengangkat takbir.Aku tidak terkejar.Waktu Zuhur sekarang ini masuk terlalu awal.Aku perlu ke bilik air untuk menyucikan diri aku dahulu.Itu agak mengambil masa.

Dengan kaki kanan beserta niat iktikaf, aku melangkah masuk ke masjid.

Tiba-tiba kedengaran seorang anak kecil berkata kepada ibunya.

"Tengok itu ibu.Dia ni (merujuk kepada seorang kanak-kanak perempuan berhampiran kami), asyik-asyik dengan rambut dia.Pegang-pegang rambut lah, sikat lah, ikat lah, buat tocanglah..."

"Biarlah dia.Itu rambut dia kan.Dia nak cantik.Nak cantik, budak perempuan kena sikat rambut dan ikat kemas-kemas.Biarlah dia.Kenapa awak sibuk sangat?"

Dalam kotak fikiran saya, saya ingat dia akan berkata begini :

Eeeee, gediklah dia.Nak ngorat saya lah tu!

Rupa-rupanya, ini jawapannya....

"Aurat.Aurat."

Kanak-kanak lelaki itu menjawab sambil menggeleng-gelengkan kepala dan ibunya terdiam!

Subhanallah!Maha Suci ALLAH!Hebat sungguh kesan tarbiyah si anak kecil ini.

Si anak kecil lelaki yang belum akil baligh boleh nampak, sedar dan faham soal aurat perempuan, apa lagi kita yang tua, sudah besar dan matang dari segi pemikiran ini?

Jika dia tidak faham soal aurat, dia tidak akan berkata begitu.Dia seolah-olah rimas dengan kanak-kanak perempuan tersebut.

Jangan dipandang kanak-kanak dengan sebelah mata.Kadang-kala, mereka juga boleh mentarbiyahkan kita, malah jauh lebih baik.Walaupun pemikiran mereka belum matang, mereka ini suci kerana mereka tiada dosa.Itu kita mesti kena ingat!

Fikir-fikirkanlah.

*Si anak kecil itu kelihatan seperti darjah 2 atau 3 (murid tahap satu).Berpakaian seragam sekolah agama.Mungkin tarbiyahnya dari ustaz atau ustazah di sekolah agama.Semoga anak kecil ini berterusan begini, berpegang pada tarbiyah ustaz/ustazah atau ibu dan bapanya.InsyaALLAH.

Wallahua'lam...

21 Oktober 2010
Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq
Bangsar
1:10 tengahari

21 Oktober 2010

Wednesday, October 20, 2010

Kepuasan


Derapan langkah
Mendongak gagah
Tiada gentar
Raja bertingkah
Lagi kuat mengakar

Ingin bukti?
Hidup sekali
Tak mahu sunyi
Mula menari
Alunan duniawi
Rentak ilahi
Tidak dibatasi

Nikmat pasti
Bahagia menanti
Puas sendiri!

Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah
Subang
19 Oktober 2010
8:10 malam

Di Kala Dhuha'



Beningnya pagi hari
Sang mentari mula memacak lagi
Menyinar lembut wajah sepi
Pencetus semangat di awal hari

Lemas dalam deruan bayu
Hati bagai melayang tak tentu
Sembah di angkat seikhlas rasa
Tegak berdiri berlapang dada

Saat pintu Dhuha' terbuka
Taubat nasuhah pembuka bicara
Tadahan rahmah dan barakah dipinta
Jangan lagi bersauhkan derita
Bersama Tuhan aku ingin bahagia

Hatiku
Jiwaku
Hidup dan matiku
Semua dalam genggamanMU

Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq
Bangsar
20 Oktober 2010
7.30 pagi 

Monday, October 18, 2010

Lagi Hadiah Cinta!

Bagaimana harus aku mulakan?Mengaku kesalahan sendiri bukan sesuatu yang mudah.Apatah lagi dengan seorang yang bergelar sahabat...

Tiada madah buat aku saat menerima bungkusan di atas.Lambang Jemari Seni yang tertera di depan bungkusan lagi mencambahkan kekesalan di hati.

Mengapakah aku begitu kejam?

Aku sedar..
Sejak dari sekolah lagi, sahabat ku ini tidak pernah lupakan aku.Tidak pernah lupa hari lahirku.Setiap tahun, dia pasti akan ucap selamat.Paling kurang pun, dia hanya sms.Dan pernah juga menelefon aku.Tahun ini pula, dia hadiahkan dua buah hadiah cinta (buku ; gelaran aku sendiri).

Aku?
Aku sendiri tidak ingat ada atau tidak aku ucapkan selamat setiap kali ulangtahunnya.Aku rasa, seperti tidak pernah sahaja.Kerana, saat ini, aku masih tidak tahu tarikh ulangtahunnya!Aku hanya tahu dia lahir pada bulan Januari.Itupun, entah betul entah tidak!Apatah lagi hendak beri hadiah?

Aku sangat kejam.Itu aku tahu.

Wahai sahabat,
Ucapan terima kasih dan mohon maaf dari aku kepadamu, seperti tidak memadai buat aku.Aku amat bersalah padamu.
Insyaallah...Masa yang bersisa ini, akan aku cuba perbaiki diri.Dengan izin ALLAH juga, aku akan menikmati saat-saat bersahabat denganmu.

16 Oktober 2010

Saturday, October 16, 2010

Bila Diri Disayangi...

Hari Sabtu hari aku bekerja.Biasanya pada pagi Sabtu aku akan bertolak dari rumah agak lewat kerana jalan di pagi Sabtu sangat lengang.Jadi aku boleh meluncur dengan jayanya dan sampai di pejabat tidak kurang dari 10 minit!

Cuma hari ini, aku terbangun agak awal.Bersiap-siap pun awal.Dalam pukul 7.00 pagi aku sudah gerak.Pagi ini dirasakan begitu syahdu.Entah kenapa air mata bergenang..dan....bait-bait lagu dibawah meniti dibibir ku berulang-ulang kali sambil aku memandu perlahan...dan kelihatan sinar mentari pagi mengekori aku sepanjang perjalanan aku ke tempat kerja...Sungguh aku nikmati setiap detik itu....

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentara
Bermulanya siang berakhir malam ku
Tak akan ku jemu menyebut namaMU

Tiada batasan waktu
Tiada tempat MU tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba,
keikhlasan doa,
Keagungan kasih merubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap namaMU, terasa diriku
Kembali dipandu

Engkau pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang MU
Ku berserah diri
-Ukays

Dalam pukul 7.15 pagi, aku tiba di perkarangan tempat letak kereta.Belum lagi ada sebuah kereta pun di situ.Hanya aku.Dihadapanku, aku terpandangkan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq.Dan di sebelah kiri ku kelihatan matahari pagi sedang perlahan-lahan naik dari kaki langit.Bertambah-tambah syahdu aku rasakan..Jiwa seakan rasa disentap lantas tanpa di arah, air mata mula mengalir laju..

Ya ALLAH, apakah semua ini?Adakah KAU sedang berbicara dengan ku?
 (Bagaikan dialog di dalam sebuah babak Ayat-ayat Cinta...hehe)

Esakan mula terhenti bila terpandangkan buku Al-Mathurat di dalam beg tangan ku.Bila masa pula aku bawa?Seingat aku, setelah habis membacanya selepas solat subuh pagi tadi, aku letakkan di atas katil.Barangkali aku tidak perasan aku terletak di atas beg tangan lalu buku itu terperosok ke dalam beg tangan.Mungkin!

Lalu aku ambil buku tersebut dan baca semula Al-Mathurat.Alhamdulillah, rasa tenang kembali.

Baru jam 7.45 pagi.
Sakura Putih dan Miss Zircon masih belum datang.Aku ingin masuk terus ke pejabat tetapi pejabat masih berkunci.Aku kembali semula ke dalam kereta.Dan aku sambung kembali bacaan sebuah novel yang bertajuk "Rembulan Tenggelam Di Wajahmu".

Ya ALLAH, ampunkanlah segala dosa-dosaku...
Lindungilah aku dari segala murkaMU....
Tenangkanlah hati ini...

P/S : Saat ini seperti terasa mahu duduk di atas batu besar, kaki celup ke dalam sungai, mata menikmati keindahan alam dan telinga menghayati irama alam semulajadi!Aduhai, bahagianyaaa....

Friday, October 15, 2010

Adakah Mimpi Itu Bersisa?

Walaupun kepala aku masih berserabut dengan hal yang tidak dapat aku uraikan, namun alhamdulillah aku rasa sudah sedikit ringan beban yang aku tanggung.Entah apa yang menimpa aku dua tiga hari ni.Akhirnya aku temukan seseorang.Aku paksakan diri aku untuk menghubunginya walaupun kulit muka aku tebal seribu!

Aku luahkan apa yang terpendam.Alhamdulillah dia faham dan dia percaya dengan apa yang aku sampaikan.Insyaallah, diharapkan ada sesuatu yang bermakna dalam kehidupan kami melalui pertemuan ini.

Aku redha dengan apa yang terjadi dan dengan apa yang bakal terjadi.
Aku hanya di makam asbab-NYA...

Malam ini, boleh lah aku tidur dengan tenang.heeeee.. =)

P/S : Kasihan anak-anak.Aku terpaksa batalkan kelas malam ini.Aku tidak begitu tenang.Aku tidak boleh mengajar.Ahad ini aku akan datang dan aku akan masak kek batik untuk mereka!InsyaALLAH,dengan izin ALLAH....Semoga dipermudahkan..

Alhamdulillah
15 Oktober 2010

Ikhlas Kerana ALLAH Itu Bagaimana?

Dompetku dikuis-kuis...Dicelah-celah zip beg tangan ku, aku mencari kepingan nota bernombor yang masih bersisa.Aku kumpulkan.Cukupkah untuk menanggung aku sehingga akhir bulan ini?

Detik hati, tidak mengapalah.Duit aku dihabiskan untuk anak-anak.Mungkin aku akan dapat rezeki yang lain.Mungkin pulangan lebih besar barangkali?

Tiba-tiba aku tersentak..MasyaALLAH...Dimanakah letaknya keihlasan aku itu?Aku mula meraguinya.Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas kerana ALLAH?Apakah salah keikhlasan aku ini?Aku minta pulangan.Aku harapkan pulangan atas apa yang aku beri.Adakah itu ikhlas?

***

Berdesup kereta aku laju melepasi jalan berhadapan bangunan SUMMIT.Jalan itu sentiasa sesak.Aku juga berasa sesak seperti tidak boleh bernafas..Namun begitu, aku tiada pilihan.Jalan itulah yang perlu aku harungi untuk ke rumah anak-anak.Tiada jalan lain.

Diri kian mendesah.Rimas dengan persoalan "Ikhlas kerana ALLAH".Aku perlukan jawapan dengan segara!

***

Seperti biasa, "google" adalah tempat aku mencari ilmu.Banyak artikel-artikel berkenaan soal ikhlas telah aku jumpai.Cuma, ia tidak menjawab persoalan aku.Rata-rata artikel menyebut tentang keikhlasan kerana ALLAH dalam konteks sesama manusia.Bukan soal ikhlas kerana ALLAH dengan ALLAH!

Salah satu contoh yang aku dapati :

Seorang penghafal Al-Quran dimasukkan ke dalam neraka.Sememangnya dia menghafal setiap bait ayat suci al-quran, serta memahami dan pakar tentang Al-Quran.Sebaliknya, ALLAH tidak terima itu semua semata-mata kerana niat dia untuk menjadi penghafal Al-Quran kerana ingin mengejar populariti.Tiada ikhlasnya kerana ALLAH. - Ini sememangnya sangatlah jelas menunjukkan dia tidak ikhlas kerana ALLAH.

Dan, persoalan aku ialah :

Jika kita berniat melakukan sesuatu kerana ALLAH taala, tetapi meminta dan mengharapkan balasan daripada ALLAH swt, adakah itu ikhlas kerana ALLAH? (Seperti kisahku di perenggan yang paling atas)

Misalnya, penghafal Al-Quran itu tiada niat langsung untuk mengejar populariti, tetapi dia mengharapkan mukjizat dari Al-Quran.Dia mohon supaya hidupnya aman sejahtera, di jauhkan segala bala, dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya dan sebagainya.Dia minta ALLAH swt untuk membalasnya kerana dia sudah banyak bersusah-payah untuk menghafal serta memahami Al-Quran.Adakah dalam konteks ini dikatakan ikhlas namanya?

***

Pendapat Sakura Putih :

"Bagi saya, ikhlas kerana ALLAH itu ialah apabila kita buat sesuatu, kita tak minta atau mengharapkan balasan dari sesiapa pun termasuk dari ALLAH swt.Apabila kita solat, berzikir, bersedekah, buat baik kepada orang dan lain, kita hadiahkan kebaikan itu kepada ALLAH.Niatkan di hati, "Ini ialah untuk-MU Ya Rabb aku persembahkan..."

"Saya ada satu analogi.Begini..Si A memberi hadiah sebuah buku kepada Si B.Si B tidak jaga buku itu dan menghilangkannya.Si A sangat marah.Di sini Si A tidak ikhlas memberi hadiah tersebut.Jika Si A ikhlas, dia akan biarkan saja apa yang Si B itu hendak buat pada hadiah tersebut.Kerana hadiah tersebut sudah menjadi hak mutlak milik Si B.Suka hati lah apa yang Si B hendak buat."

"Aplikasi pada kita ialah kita beri sesuatu kepada ALLAH, ikhlas kerana dia.Kita tidak perlu minta atau mengharapkan apa-apa dari dia.Kerana kita sudah ikhlas.Menjadi hak mutlak ALLAH untuk menilai kebaikan kita dan menjadi hak dia untuk memperlakukan apa-apa pada kita.Memperlakukan apa-apa ini bermaksud sama ada nak atau tidak terima 'hadiah' kita dan sama ada nak atau tidak membalas 'hadiah' kita.Yang penting 'hadiah' yang kita beri itu adalah hadiah untuk dipersembahkan kepadaNYA."

P/S : Jika Sakura Putih berasakan petikan di atas adalah bukan point yang Sakura Putih cuba sampaikan pada saya, sila maklumkan pada saya dengan segera!

***

Ini baru satu pandangan.Aku belum lagi bertanyakan pandangan orang lain terutamanya para cerdik pandai dalam bidang agama.Buat masa ini, aku ingin membaca, aku ingin tambah ilmu.Aku ingin cari jawapan ini melalui pengalaman aku dalam kehidupan.Aku ingin rasa sendiri bagaimana ikhlas kerana ALLAH itu.



15 Oktober 2010

Wednesday, October 13, 2010

The True Colour

Gambar dibawah dicuri dari seorang kenalan saya, Abang Din...Gambar di ambil dari puncak Gunung Sumbing ke Gunung Sindoro (Indonesia) pada waktu hampir maghrib...


Di atas ini ialah gambar yang asli...Setiap kali saya terpandangkan gambar ini, setiap kali itulah saya terasa ada sesuatu yang sangat menarik yang boleh diteliti.Lihatlah simpulan awan itu.Bagaikan gula-gula kapas yang terapung-apung...Subhanallah, Maha Suci Allah....

Hati saya seperti meronta-ronta...Ada apa pada gambar ini ya?(Bukan kerana Abang Din yang hensem!hehe)

Saya curi gambar ni, tanpa pengetahuan Abang Din...Kemudian, saya gunakan software untuk mencerahkan gambar ini.Saya juga pekatkan warna gambar yang ada pada gambar asli.Tiada penambahan atau pengurangan warna dilakukan..Dan hasilnya adalah seperti dibawah....

Subhanallah...Banyak warna yang timbul....Ada pelbagai jenis biru...Ungu...Hijau...Putih...Merah kelihatan sedikit...

Kesimpulannya, apa yang kita lihat secara luaran, tidak memberi gambaran yang sebenar pada kita.Oleh itu, gunakanlah mata hati akal kita untuk melihatnya.Gunakanlah gabungan tiga pancaindera yang ALLAH berikan pada kita ini dalam kehidupan kita.

Wallahua'lam....

P/S : Terima kasih Abang Din (Khairuddin A Rahman)!

13 Oktober 2010

Di Sebalik Buku Ada Cinta!


Seperti mahu luruh sahaja jantung apabila mataku tertancap pada sesuatu di atas meja kerja ku setelah pulang dari masa berehat....


Itu dia!

Semestinya aku tahu itu adalah angkara siapa.Sudah tentu dua orang sahabat baik ku di pejabat iaitu Miss Zircon dan Sakura Putih.Teringat masa berbual-bual dengan mereka tentang buku.Aku ada beritahu mereka bahawa aku peminat setia penulis Habiburahman El-Shirazy.Segala nukilan penulis hebat ini aku buat koleksi.Dan juga, aku ada bercerita kepada mereka tentang aku tidak cukup wang untuk membeli buku "Mihrab Cinta".

Terima Kasih sahabat!
Tiada hadiah yang paling hebat melainkan tanda ingatan dari seorang sahabat...
dan juga.....boleh aku tambah???hehehe...
BUKU juga sebuah hadiah yang terhebat!


Hati cukup berbunga-bunga.Seperti anak dara mahu dipinang gamaknya.Keluar dari kamar pejabat ku dengan senyuman yang melebar!Hadiah tersebut tidak sedikit pun di usik.Kelihatan comel apabila terlihat berkedudukan seperti itu (Seperti dalam gambar di atas).

"Sakura Putih, TERIMA KASIH!"

"Sama-sama.Dah baca sajak?Bagaimana?"

"Haahh??!Ada sajak ke?"

"Ada.Di belakang buku!"

Terasa seperti ingin berlari sahaja ke kamar.Masakan aku boleh tidak perasan?Oh, kerana sajak itu dibelakang buku, maka aku tidak nampak!Aku hanya lihat di hadapan.Aku hanya lihat "Mihrab".Aku hanya lihat reben.Aku hanya lihat corak hati.Mengapa aku tidak belek di belakang?!

Rasa bersalah menyelubungi jiwa aku.Inilah analoginya.Analoginya sebuah persahabatan, analogi sebuah cinta dan boleh jadi analogi sebuah kehidupan....

Hidup ini, kita hanya NAK nampak yang indah-indah sahaja.Yang buruk-buruk, kita biarkan ia sepi.Kita tidak lihat pun.Dalam erti kata lain, kita tidak bermuhasabah.Sedangkan yang buruk-buruk itulah terkandung seribu satu makna dan hikmah yang tidak ternilai..

Sama seperti aku dan hadiah itu.Betapa jahilnya aku tidak  nampak apa yang ada di belakang hadiah tersebut.Sebuah sajak yang sangat mendalam kata-katanya.Sajak yang boleh beri aku semangat dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan hidup dan juga dapat menyakinkan aku bahawa aku pasti akan mengecap bahagia.

Maafkan aku sahabat atas kejahilan ini....



"Sakura Putih ke yang buat sajak ni?"

"Ya.Tapi kemudiannya disemak dan disahkan oleh Miss Zircon."

Terima kasih Sakura Putih dan Miss Zircon!
Akan aku cuba menjadi seperti kamu berdua..
Handal berpuitis!

13 Oktober 2010

Aku Bukan Cikgu

Lagi 15 minit waktu pulangku...Terasa detik masa itu merangkak perlahan.Kerja yang diberi oleh Encik Z masih belum siap.Sengaja aku siapkan lambat-lambat.Jika aku siapkan awal pun, tiada kerja lain yang menanti.Maka kadang-kadang sampai ke tengah hari aku mendungu sendirian.

Malam ini aku akan ke sana lagi.Mula-mula aku rancang untuk terus ke sana selepas kerja.Tetapi hari ini, ayah mahu ikut aku pulang.Kereta rosak katanya.Terpaksalah aku pulang ke rumah dahulu.

***

Untuk malam ini, aku sudah persiapkan diri aku.Insyaallah, dua buah topik akan aku ajar mereka.Latihan-latihan untuk mereka juga telah aku rangka.Hari ini, aku akan ajar mereka menggunakan papan putih!

Waaah!
Tak pernah aku bayangkan seumur hidup aku yang aku akan berdiri di hadapan papan putih dan mengajar.Aku sebetulnya tidak suka mengajar.Jangan tanya aku mengapa, aku tiada sebab untuk itu!

Demi anak-anak, tiada apa yang boleh aku lakukan selain memberi tunjuk ajar....

Kerja..kerja...lalalala...

12 Oktober 2010

Monday, October 11, 2010

Aku Bahagia

Hampir genap sebulan aku di tempat kerja baru.Walaupun belum genap sebulan aku bekerja, gaji pertama aku telah terima.Gaji itu hanya untuk 10 hari aku bekerja di bulan September.Dan duit itu juga lah aku gunakan untuk menampung kehidupan aku di bulan Oktober.Haruslah tidak termasuk duit kereta.Jika tidak, terpaksalah aku berbekalkan lauk yang dimasak oleh Mama ku tiap-tiap hari ataupun...jalan kaki ke tempat kerja...haha!Kasihan ayah, bulan ini dia masih bayarkan duit kereta aku.

Bagaimana di tempat kerja?
Alhamdulillah, setakat ini baik-baik sahaja.Cuma aku belum diberi tugas yang sebenar sesuai dengan post aku.Boss aku arahkan aku untuk membantu tugas-tugas jabatan lain kerana jabatan tersebut akan di audit dalam masa terdekat ini.

Rakan-rakan sekerja?
Alhamdulillah...Hari demi hari aku cuba bergaul dengan mereka.Kecuali dengan Sakura Putih dan Miss Zircon..Kedua-dua mereka sudah terlebih gaul!

Persekitaran bekerja?
Alhamdulillah...Sungguh baik dan tenang sekali.Aku duduk di bilik ku sendiri.Lengkap dengan komputer, telefon, almari dan juga printer.Cuma yang tak senang duduk adalah antara bilikku dan bilik boss aku adalah berdindingkan kaca!hehehe..Itu sebenarnya tiada masalah bagi aku.Aku bukannya kaki mengular.Jadi mengapa perlu takut?kikiki...

Alhamdulillah juga...Tempat kerja aku bersebelahan dengan medan selera dan juga masjid.Di medan selera itu makanan agak murah.Kemudian, hari-hari ke masjid untuk tunaikan solat zuhur dan asar.Alhamdulillah, suatu nikmat yang tak terkira apabila tiap-tiap hari dapat menjejakkan kaki ke rumah ALLAH.

Alhamdulillah juga dikurniakan dua orang sahabat (Sakura Putih dan Miss Zircon)...Ketika ini sentiasa bergelak ketawa bersama..Aku harapkan esok-esok bila salah seorang dari kita menangis, dapatlah kiranya kita menangis bersama.........

***

Aku begitu bahagia dengan kehidupan aku sekarang.Di saat ini, bila diimbas kembali segala sakit raung aku pada masa dahulu, aku sudah jadi tersenyum!Tidak lagi merasa kesedihan itu.Mungkin ini manisnya yang ALLAH hendak beri pada aku.Terasa begitu cepat!

Subhanallah...Walhamdulillah...Wala ila ha illallah...Allahu akhbar...

Tidak akan ku sia-siakan setiap detik yang akan aku lalui....



Sebahagian dari rutin kerja bulananku..Menyemak gaji pekerja...


11 Oktober 2010

Sunday, October 10, 2010

Permulaan yang Baik

Agak kelam kabut hari ini.Sudah lama aku tinggalkan Matematik.Dan hari ini aku perlu mengajar anak-anak matapelajaran tersebut.Aku terpaksa buka balik buku.Semua rumus aku lupa.Nak harapkan mereka beri rumus pada aku, janganlah mengharap!

Ada juga timbul kesal di hati.Rasa kesal tidak datang ke sini sejak awal dahulu untuk bantu mereka.Lagi sebulan sebelum SPM tiba, barulah tergerak untuk datang.Mungkin ada hikmah.

"How are they?"

"Very fine..Alhamdulillah.."

"Are you sure?"

"Yes!But why?"

Mama terangkan seorang demi seorang tahap kelemahan mereka.

***

Sepanjang dua jam aku bersama dengan mereka, aku tidak rasa rumit untuk mengajar mereka.Mereka banyak bertanya, aku cukup suka!Cuma Dib saja yang kelihatan diam dan tidak banyak campur dalam perbincangan antara aku dan anak-anak yang lain.

Sekali sahaja aku ajar mereka, mereka faham.Aku tahu mereka faham kerana selepas aku mengajar, aku beri soalan serupa yang aku ajar.Alhamdulillah mereka boleh buat.Ini termasuk Mun.

Mun.
Nama yang paling banyak Mama sebut padaku.Mun kurang belajar, Mun asyik baca novel, Mun letak novel atas buku latihan, konon-konon belajar, rupa-rupanya baca novel..Mun itu, Mun ini...Tapi aku tahu, dia cepat tangkap.Jika tidak, masakan dia boleh buat soalan-soalan yang aku beri setelah aku ajar.Yang buat aku lagi berbangga adalah, dia bukan setakat buat soalan-soalan yang aku beri saja, malah lebih!Dia cari soalan-soalan yang mirip dengan apa yang aku ajar dan dia buat.Dia tunjuk padaku untuk aku semak.Dan semuanya betul!

You wrong Mama.I will make you proud of them!

Haha!Ayat di atas hanya boleh berkata-kata di dalam hati.Aku takut untuk menyampaikannya.Biarlah aku berjanji pada diri aku sendiri, bukan berjanji pada Mama.Tidak juga pada anak-anak.

***

Hari beransur-ansur gelap.Aku terpaksa pulang.Lengkong laici (buatan sendiri) yang aku bawa seberkas penuh tinggal dua tiga ketul sahaja.Aku suruh mereka habiskan kerana ingin bawa bekasnya pulang.Alih-alih, aku yang lupa untuk mengambilnya!

Sebelum aku berangkat pulang, Dib bertanya padaku...

"Akak akak..Akak faham tak kehidupan remaja?"

"Apa pula akak tidak faham?Akak kan pernah melaluinya."

"Maksud saya, boleh tak kalau saya nak bercerita dengan akak?Cerita kita-kita je."

"Cerita apa?Pasal boyfriend ke?"

Haha!Aku mula melawak.Pasti boleh sayangku!

Aku faham pertanyaan Dib.Dia memerlukan seseorang yang terbuka.Seseorang yang boleh dengar dan fahami jiwa geloranya.Dia memerlukan seseorang yang boleh berinteraksi dengannya dari hati ke hati.Aku tahu dan aku faham itu.Setiap orang memerlukannya.Apatah lagi dia yang jauh dari keluarga.

Maka dengan itu, 10/10/10 adalah permulaan hari yang baik buatku.Aku harapkan hari-hari yang mendatang begitu juga.Seperti hari ini...Insyaallah.

Alhamdulillah...
10 Oktober 2010

ESOK!

Saat kereta aku memasuki perkarangan rumah anak-anak, saat itulah aku rasa debarannya...
Bukan apa, aku rasakan aku sudah mula memikul satu beban yang sangat berat di bahu...

Sebelum ini, aku bergiat aktif menjadi sukarelawan untuk sebuah organisasi bukan kerajaan.Aku terlibat dalam beberapa program organisasi tersebut melibatkan program bersama-sama anak-anak yatim dan fakir miskin.Setelah sekian lama, baru aku tersedar.Aku seperti tidak menyumbang apa-apa buat mereka walhal aku banyak terlibat dengan aktiviti bersama mereka.Maksud aku disini ialah aku tidak rapat dengan mereka.Nama mereka pun aku tidak ketahui.Apatah lagi untuk kenal dan bersahabat dengan anak-anak ni.Aku cuma datang ke majlis atau program, kemudian menolong penganjur program apa yang patut : hidangkan makanan, melayan mereka, membantu "set up" perpustakaan, melawat, gotong-royong dan sebagainya.Ah!Ini tidak mencukupi buat aku.Aku hanya kenal mereka sehari.Kemudian, mereka terus dilupakan.Maka dengan itu aku anggap aku tidak menyumbang apa-apa.Aku tidak terkesan langsung dalam hati mereka!

Nah!Hari ini aku puas.Aku sangat puas.Aku melangkah masuk ke rumah anak-anak bukan kerana apa-apa program.Bukan juga kerana majlis makan-makan atau sebagainya.Aku jejakkan kaki ke situ dengan kaki ku sendiri, dengan hajat aku sendiri, dengan semangat aku sendiri.Alhamdulillah Ya Rabb, KAU telah bukakan pintu hatiku ini dengan segala nikmatMU.Sujud syukur padaMU tak terkira kerana KAU dengar bisikan hati ini, walaupun bukan suatu doa rasmi untukMU, tetapi KAU perkenankan niatku, KAU bukakan jalanku, KAU kuatkan anggota aku untuk ke sana.

Dari segi material, tiada apa-apa yang boleh aku beri setakat ini.Aku hanya mampu menyalurkan ilmu ku pada mereka.Mama (panggilan manja anak-anak kepada isteri penyelia rumah) mencadangkan aku supaya aku menfokuskan beberapa orang anak-anak untuk pemerhatian aku.Katanya supaya aku boleh pantau prestasi anak-anak dan peka dengan perkembangan mereka.

Pada mulanya aku buntu.Aku tidak tahu anak-anak yang berada di tahap mana yang boleh aku bantu.Sedikit pun aku tiada pengalaman untuk mengajar.Mama kata itu tidak penting.Cara pendekatan kita dengan anak-anak itulah yang perlu diutamakan.

Mereka masih lagi di dalam kelas fardhu ain.Mama telah berhenti berbual.Dia mengalihkan perhatiannya dengan menonton Hindustan.Aku mati kutu tidak tahu hendak bertanya apa lagi.Mata aku melilau mencari apa-apa yang boleh dibaca.Bukan aku tidak bawa bahan bacaan.Ada sebuah novel di dalam beg ku.Tetapi, aku rasa itu seperti tidak sopan jika membaca novelku dihadapan mereka.Bagiku, terlalu menonjol tahap kebosanan aku.Jika aku baca bahan bacaan dari bilik pejabat tersebut, mungkin tidak ketara sangat.Mereka mungkin akan beranggapan aku "curious" dengan tempat itu.Alhamdulillah, akhirnya mata aku tertancap pada sebuah rak, tersusun deretan album gambar.Aku minta izin Mama untuk melihatnya.Mama izinkan.

Pukul 5.00 petang..Hampir dua jam aku menunggu di pejabat asrama.Anak-anak kecil (6 tahun ke bawah) sudah mula berlegar-legar di kawasan gelanggang badminton.Mama mengajak aku keluar untuk berjumpa dengan mereka.

Lasak!Itulah mereka.Walaupun mereka semua kanak-kanak perempuan, namun kenakalannya persis kanak-kanak lelaki.Sesekali terdengar jeritan Mama.

Aku lihat sahaja mereka, tiada perasaan untuk bermain dengan mereka.Sebenarnya otak aku masih ligat berfikir, anak-anak tahap mana yang mampu aku bimbing dan ajar.Apa-apapun, keletah mereka bermain-main masih buat aku tersenyum dan ketawa!

Masa sudah menginjak ke 6.30 petang.Aku masih lagi tidak dapat kata putus.Tetapi pada waktu itu hati aku memberat untuk menolong anak-anak yang akan menghadapi SPM dalam masa sebulan sahaja lagi.Cuma aku tidak yakin pada diri aku sendiri.Adakah aku mampu mengajar mereka?Sedangkan keputusan SPM aku bukanlah secemerlang yang disangka.Ah!Bertambah kusut aku jadinya apabila terkenang kembali waktu aku semasa menghadapi SPM dahulu.Andai dapat ku undurkan masa, mahu sahaja aku belajar bagai nak gila.Supaya sekarang aku mudah untuk bantu mereka!

Persetankan itu!Aku mahu pulang saja.Biar aku fikir di rumah.Biar aku istikharah, hanya ALLAH sahaja yang tahu akan kemampuanku.Aku minta pulang.

"Macam mana?Nak ajar anak-anak yang mana?"

GULP!Aku tidak dapat bernafas untuk sesaat.Soalan itu seperti aku ingin minta tangguh.Tapi, bila difikirkan kembali, agak buang masa jika aku datang ke sini hari ini tanpa ada apa-apa kata putus.Akhirnya, aku membuat keputusan untuk ambil anak-anak SPM menjadi anak-anak di bawah jagaan aku.

SATU TANGGUNGJAWAB YANG SANGAT BESAR!

Fiuhhh...Ada peluh di dahi.Mampukah aku?Kuatkah aku?

"Pergi jumpa anak-anak sekarang.Tunggu di dewan."

Secepat itu?Aku mula resah!

***

Lima orang anak-anak ayu berdiri di hadapanku.Salam dan menyium tanganku.Terasa satu nikmat kehidupan yang aku sendiri tidak dapat huraikan.Kami duduk dalam satu halaqah.Aku mulakan sesi taaruf.Aku perkenalkan diri.Mereka juga perkenalkan diri mereka.

Pada hari pertama bersama mereka, aku berterus-terang dengan mereka.Aku katakan aku bukanlah seorang guru, aku hanya datang membantu.Aku akan mengajar semampuku.Adakalanya aku boleh tersilap.Aku juga sampaikan pesan supaya mereka hargai masa sebulan yang terakhir mereka di sekolah.Saat-saat inilah suatu kenangan akan tercipta dan kelak kita sendiri akan merinduinya.

Hampir pukul 7.00 petang.Aku berbincang dengan mereka berkenaan masa senggang mereka untuk bersama aku.Mereka cadangkan supaya sesi pertama diadakan pada esok petang.Aku tinggalkan mereka dengan ucapan salam dan berdoa supaya mereka diterangkan hati, dipermudahkan segala urusan, dan disihatkan anggota badan.Aku juga tinggalkan mereka tanpa sebarang janji!Itulah peringatan Uncle, suami kepada Mama.

"Jangan sesekali kamu berjanji dengan anak-anak.Saya takut kamu tidak menepatinya!"

Kesannya?Akan saya beritahu dalam entri yang akan datang.

Maka termaktublah dalam takdirku, bermulanya satu tanggungjawab yang sangat besar atas diriku.....

ESOK!
10/10/10

Insyaallah..

Main air!

Petang, waktu riadah anak-anak...


Bila laaa nak mandi ni..Tunggu air penuh satu kolah!

Gelanggang badminton.

9 Oktober 2010

Saturday, October 9, 2010

Sahabat Sekerja dan KFC


Selepas pulang dari tempat kerja tengahari tadi, aku dan sahabat2 sekerja, Sakura Putih dan Miss Zircon terus ke KFC Milennium Court...Saja melempiaskan nafsu makan dan bercerita panjang...Dari semalam lagi kami telah rancang..Al-maklumlah, di pejabat, kami tidak sempat bercerita...Waktu rehat pun suntuk, setiap hari terkejar-kejar...Satu jam rehat adalah waktu untuk makan dan solat sahaja...

Tak sah kalau tak order cheesy wedges di KFC..Very yummy!

Alhamdulillah...
9 Oktober 2010
My Photo
Siti Zulaikha Kamarudin
View my complete profile
Aku Sang Merpati
Hidupku memerhati
Mengambil intipati
Untuk dibawa mati

 
Raudhah An-Nur© DiseƱado por: Compartidisimo