Baru sekarang aku sempat bercerita. Semalam, hari aku sangat sesak!
18 Januari 2011
Pagi-pagi lagi aku sudah bangun. Aku selalu begini. Jika ada sebarang temuduga, pasti malam sebelumnya aku tidak nyenyak tidur. Pukul 7.00 pagi aku mula gerak untuk menghantar ayahku ke tempat kerja (Rutin biasa).Kemudian, aku pulang ke rumah untuk mencetak resume.
Hahaha...Nak berak, baru gali lubang!!Hehe...Malam sebelumnya, aku tidak sempat untuk cetak. Ada hal yang buat aku sampai ke rumah lambat dan terus masuk tidur.
Aku terima emel, ujian bertulis akan bermula pada pukul 10.15 pagi. Aku sampai di pejabat PTS pada pukul 11.00 pagi.Ya, pukul 11 pagi!!Aku lambat 45 minit!!!Apa sudah jadi wahai Raudhah??
Ya, aku mengaku, memang silap aku. Silap aku kerana terlampau yakin sehingga tidak berhati-hati. Kadang-kadang sifat keyakinan diri yang melampau juga boleh merosakkan diri sendiri.
Pukul 9.00 pagi aku sudah mula gerak ke Batu Caves. Pukul 9.15 pagi aku sudah sampai di perkarangan bangunan DOLOMITE. Ya, DOLOMITE!! Aku tahu perkataan ini. Nama bangunan inilah yang tertulis di dalam emel yang aku terima. Aku hanya hafal nama DOLOMITE. Yang lain-lain aku tidak ambil peduli. Nombor telefon pegawai yang bertugas juga aku tidak catat! Aku tahu DOLOMITE di mana!! Usah risau..
YAKIN BETUL AKU!!!
Oleh kerana aku tiba terlalu awal, jadi, aku ambil keputusan untuk tunggu di dalam kereta sahaja. Aku tidak tahu mengapa pada masa ini aku tidak terfikir untuk lihat papan tanda PTS. Mungkin kerana aku terlalu yakin, itulah tempatnya. Sementara menunggu, sempat aku habiskan membaca buku yang dipinjam dari kawan alam maya, Dari Cat Stevens ke Yusuf Islam.
Tepat pukul 10 pagi, aku melangkah keluar dari kereta. Mata mula terkebil-kebil mencari papan tanda PTS. TIADA!!Alamak!
Dari hujung bangunan ke hujung bangunan aku cari. Tiga kali aku ke hulu ke hilir. Tiada juga papan tanda pejabat PTS. Adakah aku salah tempat? Aku mula bertanya pada orang yang lalu-lalang. Seorang pun tidak tahu!
Peluh sudah berjurai-jurai. Jantung pun sudah berdegup kencang. Badan mula menggigil. Apakah tiada jodoh aku di PTS? Oh Allah, jika kau tak benarkan aku menduduki ujian bertulis tersebut, izinkanlah aku menatap pejabat PTS! Jangan sia-siakan semangat aku dan perjalanan aku pada hari ini! Huhuhu...
Entah bagaimana, timbul satu kekuatan untuk aku tidak berputus asa. Aku yakin, pasti ada ruang untuk ku. Allah tidak akan sia-siakan aku!
Allah telah berfirman di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka.” (Ar-Ra’du:11)
Berbekalkan kredit yang hanya tinggal RM4, aku masuk ke talian jalur lebar. Aku sungguh-sungguh berdoa agar RM4 ini cukup untuk aku membuka emel dari PTS dan menelefon pegawai PTS.
Bila dibuka, rupanya, pejabat PTS bukan di bangunan DOLOMITE, tetapi pejabat tersebut berada di DOLOMITE BUSINESS PARK.
Masyaallah!
Aku terus hubungi pegawai yang bertugas. Minta dia tunjukkan jalan.
Pegawai tersebut pada mulanya tersalah beri informasi. Aku sudah terlajak ke Sri Gombak. Kemudian, barulah betul informasi jalannya. Akhirnya, aku sampai ke pejabat PTS. Tidak berapa jauh dari tempat yang aku sesat tadi.
"Cikpuan, masih boleh kah saya duduki ujian tersebut?Saya sudah terlalu lambat ni."
"Insyaallah boleh.Datang saja!"
Alhamdulillah...Syukur sangat pada ALLAH.
Terasa muka aku tebal sangat tatkala melangkah masuk ke dalam bilik ujian! Apa-apa pun aku sangat bersyukur!
***
Sesi ujian. Kertas ujian terbahagi kepada 3 bahagian. Bahagian pertama ini, diberi 2 teks karangan untuk disunting. Bahagian kedua ialah ejaan. Pegawai bertugas menyebutkan perkataan dan kami dikehendaki menulis perkataan yang disebutnya itu (Teringat zaman sekolah rendah!!Hehe..). Bahagian ketiga pula, kami dikehendaki memilih jenis buku yang kami minati.
Soalan bahagian pertama lah yang buat aku pening. Terutama sekali teks yang pertama. Ayat tunggang-langgang dan betul-betul mencabar untuk membetulkannya kembali. Masa yang diberikan hanya 5 minit.
Saat aku menghantar kertas jawapan, aku betul-betul redha! Tidak dapat temuduga pun tidak mengapa. Aku masih bersyukur. Aku tidak harapkan apa-apa...
Selesai sahaja ujian bertulis, pegawai bertugas menyuruh aku datang kembali pada pukul 1 petang untuk lihat keputusan sama ada akan ditemuduga ataupun tidak. Sementara menunggu, aku makan tengahari di Sri Gombak.
Tepat pukul 1 tengahari, aku sudah terpacak di hadapan pejabat PTS. Pegawai sedang menampal senarai calon-calon yang layak ditemuduga.
Alhamdulillah, nama aku tersenarai untuk ditemuduga...
Sehingga ke tahap akhir, aku sudah lakukan sehabis baik, alhamdulillah. Hanya doa aku panjatkan agar aku diberi peluang dan ruang untuk "memandaikan anak bangsa" (trademark warga PTS).Insyaallah...
Amin.