topbella

Friday, October 15, 2010

Ikhlas Kerana ALLAH Itu Bagaimana?

Dompetku dikuis-kuis...Dicelah-celah zip beg tangan ku, aku mencari kepingan nota bernombor yang masih bersisa.Aku kumpulkan.Cukupkah untuk menanggung aku sehingga akhir bulan ini?

Detik hati, tidak mengapalah.Duit aku dihabiskan untuk anak-anak.Mungkin aku akan dapat rezeki yang lain.Mungkin pulangan lebih besar barangkali?

Tiba-tiba aku tersentak..MasyaALLAH...Dimanakah letaknya keihlasan aku itu?Aku mula meraguinya.Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas kerana ALLAH?Apakah salah keikhlasan aku ini?Aku minta pulangan.Aku harapkan pulangan atas apa yang aku beri.Adakah itu ikhlas?

***

Berdesup kereta aku laju melepasi jalan berhadapan bangunan SUMMIT.Jalan itu sentiasa sesak.Aku juga berasa sesak seperti tidak boleh bernafas..Namun begitu, aku tiada pilihan.Jalan itulah yang perlu aku harungi untuk ke rumah anak-anak.Tiada jalan lain.

Diri kian mendesah.Rimas dengan persoalan "Ikhlas kerana ALLAH".Aku perlukan jawapan dengan segara!

***

Seperti biasa, "google" adalah tempat aku mencari ilmu.Banyak artikel-artikel berkenaan soal ikhlas telah aku jumpai.Cuma, ia tidak menjawab persoalan aku.Rata-rata artikel menyebut tentang keikhlasan kerana ALLAH dalam konteks sesama manusia.Bukan soal ikhlas kerana ALLAH dengan ALLAH!

Salah satu contoh yang aku dapati :

Seorang penghafal Al-Quran dimasukkan ke dalam neraka.Sememangnya dia menghafal setiap bait ayat suci al-quran, serta memahami dan pakar tentang Al-Quran.Sebaliknya, ALLAH tidak terima itu semua semata-mata kerana niat dia untuk menjadi penghafal Al-Quran kerana ingin mengejar populariti.Tiada ikhlasnya kerana ALLAH. - Ini sememangnya sangatlah jelas menunjukkan dia tidak ikhlas kerana ALLAH.

Dan, persoalan aku ialah :

Jika kita berniat melakukan sesuatu kerana ALLAH taala, tetapi meminta dan mengharapkan balasan daripada ALLAH swt, adakah itu ikhlas kerana ALLAH? (Seperti kisahku di perenggan yang paling atas)

Misalnya, penghafal Al-Quran itu tiada niat langsung untuk mengejar populariti, tetapi dia mengharapkan mukjizat dari Al-Quran.Dia mohon supaya hidupnya aman sejahtera, di jauhkan segala bala, dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya dan sebagainya.Dia minta ALLAH swt untuk membalasnya kerana dia sudah banyak bersusah-payah untuk menghafal serta memahami Al-Quran.Adakah dalam konteks ini dikatakan ikhlas namanya?

***

Pendapat Sakura Putih :

"Bagi saya, ikhlas kerana ALLAH itu ialah apabila kita buat sesuatu, kita tak minta atau mengharapkan balasan dari sesiapa pun termasuk dari ALLAH swt.Apabila kita solat, berzikir, bersedekah, buat baik kepada orang dan lain, kita hadiahkan kebaikan itu kepada ALLAH.Niatkan di hati, "Ini ialah untuk-MU Ya Rabb aku persembahkan..."

"Saya ada satu analogi.Begini..Si A memberi hadiah sebuah buku kepada Si B.Si B tidak jaga buku itu dan menghilangkannya.Si A sangat marah.Di sini Si A tidak ikhlas memberi hadiah tersebut.Jika Si A ikhlas, dia akan biarkan saja apa yang Si B itu hendak buat pada hadiah tersebut.Kerana hadiah tersebut sudah menjadi hak mutlak milik Si B.Suka hati lah apa yang Si B hendak buat."

"Aplikasi pada kita ialah kita beri sesuatu kepada ALLAH, ikhlas kerana dia.Kita tidak perlu minta atau mengharapkan apa-apa dari dia.Kerana kita sudah ikhlas.Menjadi hak mutlak ALLAH untuk menilai kebaikan kita dan menjadi hak dia untuk memperlakukan apa-apa pada kita.Memperlakukan apa-apa ini bermaksud sama ada nak atau tidak terima 'hadiah' kita dan sama ada nak atau tidak membalas 'hadiah' kita.Yang penting 'hadiah' yang kita beri itu adalah hadiah untuk dipersembahkan kepadaNYA."

P/S : Jika Sakura Putih berasakan petikan di atas adalah bukan point yang Sakura Putih cuba sampaikan pada saya, sila maklumkan pada saya dengan segera!

***

Ini baru satu pandangan.Aku belum lagi bertanyakan pandangan orang lain terutamanya para cerdik pandai dalam bidang agama.Buat masa ini, aku ingin membaca, aku ingin tambah ilmu.Aku ingin cari jawapan ini melalui pengalaman aku dalam kehidupan.Aku ingin rasa sendiri bagaimana ikhlas kerana ALLAH itu.



15 Oktober 2010

0 comments:

My Photo
Siti Zulaikha Kamarudin
View my complete profile
Aku Sang Merpati
Hidupku memerhati
Mengambil intipati
Untuk dibawa mati

 
Raudhah An-Nur© DiseƱado por: Compartidisimo